SaHaBaT SeJati..

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).


Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:


•Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
•Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
•Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
•Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
•Jika dia mendapat sesuatu kebajikan(bantuan)daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
•Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
•Jika engkau meminta bantuan daripadanya,dia akan mengusahakannya;
•Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta),dia akan menanyakan kesusahan kamu;
•Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
•Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
•Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
•Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
•Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
•Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai manusia biasa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT menjaga buminya yang indah dan permai ini, berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.


Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

•Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
•Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang;ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
•Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
•Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
•Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.